Search

Kamera tersembunyi dalam soket bilik homestay, polis buka kertas siasatan

September 23, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis mengesahkan menerima laporan berkaitan kes sepasang warga China yang menemui kamera kecil tersembunyi (Hidden Camera) yang dipasang di dalam soket di bilik sebuah ‘homestay’ di bandar raya ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, laporan polis itu dibuat pengadu warga China jam 5.27 petang, pada 7 September 2023.

“Polis Kota Kinabalu menerima dan meneliti satu paparan yang ditularkan melalui media sosial berkaitan kes sepasang warga China yang menemui kamera kecil tersembunyi yang dipasang di dalam soket di bilik sebuah homestay di bandar raya ini.

“Susulan itu, satu kertas siasatan dibuka dan menjalankan siasatan mengikuti Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana perbuatan mengaibkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal di tempat kejadian sudah dijalankan dan rampasan ke atas barang kes dibuat.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah.

“Usaha untuk mengesan suspek sedang dijalankan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya menafikan telah meminta pengadu memadam paparan/posting yang dibuat oleh pengadu di dalam platform media sosial.

Katanya, pihak polis meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini untuk menyalurkannya kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Deputi Superintenden Khairul Shah Peri di talian 011-26691994.

Terdahulu, tular di media sosial apabila pasangan dari China yang menginap sebuah homestay di Kota Kinabalu terkejut selepas menemui kamera kecil yang tersembunyi di dalam soket homestay berkenaan. – Info X