Search

Suspek bunuh kanak-kanak di Lahad Datu diberkas

September 24, 2023

Info X Reporters

LAHAD DATU: Suspek yang menetak mati seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun di perumahan pekerja Felda Sahabat 30, di sini, ditahan selepas kira-kira 12 jam diburu polis.

Suspek Paulus Poka Lolo, 33, warga asing ditahan sepasukan Polis Bantuan Felda di dalam kawasan blok 12 ladang FGV PM Sahabat 41, kira-kira jam 7 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad berkata, bertindak di atas maklumat mengenai kejadian itu, Polis Bantuan Felda telah mempertingkatkan rondaan kawasan berkenaan.

Suspek yang bersembunyi akhirnya berjaya diberkas sepasukan Polis Bantuan Felda. – Foto/PDRM

“Hasilnya, Polis Bantuan Felda berjaya mengesan suspek yang dikehendaki itu berada dalam keadaan mencurigakan di dalam kawasan Blok 12 Ladang FGV PM Sahabat 41.

“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu telah membuat tangkapan semula suspek terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, soal siasat sehingga suspek mendedahkan lokasi tersimpannya senjata berupa parang yang digunakan oleh suspek ketika kejadian dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) IPD Lahad Datu.

“Susulan pendedahan itu, polis menemui dan merampas sebilah parang yang berukuran 0.5 meter di kawasan semak tepi jalan Ladang FGV PM Sahabat 41.

“Jarak dari lokasi kejadian ke lokasi tangkapan dalam anggaran 2 kilometer manakala jarak dari lokasi kejadian ke lokasi senjata parang ditemui dalam anggaran hampir 2.5 kilometer. Jarak dari lokasi tangkapan ke lokasi senjata parang ditemui dalam anggaran 500 meter,” katanya.

Anjing pengesan berjaya menemui senjata parang yang digunakan oleh suspek ketika kejadian. – Foto/PDRM

Sementara itu, Dr Rohan berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Lahad Datu esok bagi permohonan reman untuk melengkapkan siasatan.

“Polis percaya dengan tertangkapnya suspek ini dan rampasan terhadap senjata yang digunakan, kes ini dianggap selesai.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Dalam kejadian 7.30 pagi semalam, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut ditetak oleh suspek iaitu rakan kepada bapa tiri mangsa di halaman rumahnya di perumahan pekerja Felda Sahabat 30.

Mangsa warga asing itu ditinggalkan oleh Ibu bapanya bersama suspek kerana keluar bekerja sebagai Pekerja Am di ladang kelapa sawit berkenaan. – Info X