Search

Mangsa dikhuatiri dibaham buaya di Kota Belud masih belum ditemui

September 24, 2023

Junaidi Ladjana

KOTA BELUD: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki yang hilang disyaki dibaham buaya ketika memancing di Jeti Mantanani, Kampung Rampaian Laut, di sini, memasuki hari keempat hari ini, masih gagal menemui mangsa.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, SAR hari keempat dipecahkan kepada enam pasukan.

“Operasi membabitkan pasukan bomba, polis DirajaMalaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan penduduk kampung.

“Operasi itu turut disertai Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM, dron bomba, dan D Bayu Sabah dengan jarak keseluruhan pencarian sejauh 17 kilometer,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, teknik pencarian dilakukan dengan surface water searching menggunakan bot.

“Pencarian di dalam kawasan paya bakau turut dijalankan selain pemantauan udara.

“Namun sehingga kini, mangsa belum ditemui dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

Terdahulu, dalam kejadian 11.26 malam Jumaat lalu, mangsa Yusri Dulpi, 20, dilaporkan dibaham buaya di kawasan jeti berkenaan.

Menurut saksi, mangsa disambar buaya ketika menjalankan aktiviti memancing. – Info X