Search

Kemenangan aksi Piala AFC motivasi Sabah jumpa Perak

September 25, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah FC mahu menjadikan kemenangan mereka pada saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) lalu sebagai motivasi apabila berdepan Perak FC dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysiaz di Ipoh, malam ini.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berkata, kemenangan skuad Sang Badak 3-1 ke atas Hougang United FC dari Singapura dalam aksi Kumpulan H di Stadium Likas itu memberikan keyakinan yang diperlukan pasukannya.

Katanya, kemenangan ke atas Perak malam ini sangat penting selepas mereka hanya seri 2-2 dalam saingan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Likas pada 15 September lalu.

“Perlawanan suku akhir pusingan kedua menentang Perak mungkin berbeza daripada apa yang berlaku ketika mencatatkan keputusan seri di Stadium Likas pada 15 September lalu.

“Kita mahu Sabah FC lebih konsisten bagi membuktikan kepada semua bahawa kita perlu bangkit sekali gus melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia seperti tahun lalu.

“Piala Malaysia dan Piala AFC adalah dua kejohanan berbeza, ia satu tugas besar menentang pasukan seperti Perak kerana mereka menewaskan Kedah (agregat 4-3 dalam pusingan 16), jadi mereka tahu bagaimana untuk mendapatkan keputusan terbaik malam esok (malam ini),” katanya mengulas persiapan Sabah FC menentang Perak FC, malam ini.

Kim Swee berkata, Sabah FC perlu kekal fokus dan tidak mengulangi apa yang berlaku di Likas pada 15 September lalu ketika menjadi tuan rumah dan perlu konsisten untuk mencapai keputusan positif malam ini.

Jelasnya, tiada mana-mana pertandingan yang tidak penting, sebaliknya setiap kejohanan bola sepak disertai Sabah FC adalah perlawanan yang penting.

Beliau turut memuji usaha abak buahnya setakat ini yang mula menunjukkan komitmen tinggi pada setiap perlawanan.

“Terdapat kombinasi yang baik di kawasan tertentu, yang paling penting ialah kami boleh pergi lebih jauh daripada tiga gol  pada Piala AFC terutamanya ketika kami mendahului 2-0.

“Kita mesti tahu bagaimana untuk mengawal keadaan terutama ketika menentang Perak di hadapan penyokong tuan rumah mereka di Ipoh,” katanya.

Bekas jurulatih Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan itu menambah, beliau ingin melihat kejayaan tahun lalu untuk mara ke separuh akhir Piala Malaysia atau lebih baik lagi.

Tahun lalu, Sabah mara ke separuh akhir Piala Malaysia tetapi tewas kepada juara kejohanan itu, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan kekalahan agregat 1-4. – Info X