KUDAT: Dua bot pancing bersama enam termasuk empat nelaya warga asing yang membawa muatan pelbagai hasil laut spesis terancam ditahan Agensi penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan daerah ini, Rabu lalu.
Kedua-dua bot ditahan kapal KM Ikhlas ketika melaksanakan operasi di lokasi kira-kira 58 batu nautika Barat Laut Simpang Mengayau, di sini, jam 12.35 tengah hari.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, tangkapan dan rampasan itu dijalankan berdasarkan maklumat risikan yang diterima.
Katanya, pemeriksaan terhadap bot pertana mendapati terdapat dua individu warga Filipina dan seorang warga Indonesia yang mengendalikan bot berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut menemui sejumlah 35 karung berisi ikan buntal dianggarkan 630 kilogram (kg), kerang kering (kima) 76 karung dianggarkan seberat 1,368 kg, penyu kering yang diisi di dalam karung berjumlah 39 karung dan 14 kotak seberat 865 kg.
“Selain itu, turut ditemui dua karung berisi sipit kering (kahanga) anggaran berat 30 kg, kuda laut dengan berat enam kg, satu karung berisi sirip ikan yu dan enam kotak berisi ikan beku (maming napoleon), satu kotak berisi 25 ekor,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Maurice Grenville berkata, sebuah lagi bot yang diperiksa didapati membawa muatan hampir 2,100 kg kima dan ikan buntal kering sejumlah 375 kg.

“Bot berkenaan dikendalikan oleh dua individu warga tempatan berusia 50 dan 57 tahun dan seorang lagi warga Filipina berusia 45 tahun.
“Semua suspek bersama bot dan barang rampasan ditahan dan dibawa ke jeti untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Kudat bagi tindakan lanjut,” katanya.
Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan termasuk kedua-dua bot pancing itu dianggarkan berjumlah RM1.5 juta.
“Kes disiasat mengikut Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesis Terancam 2008, Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.
“Kes turut disiasat mengikut Akta Perikanan 1985, Akta Kastam 1966, Akta Imigresen 1959/1963 kerana disiasat memiliki dokumen pengenalan diri meragukan dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga 2002 serta Peraturan-Peraturan Pelabuhan dan Dermaga 2008,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Zon Maritim Kudat memohon kepada masyarakat khususnya komuniti maritim membantu pihak agensi dengan melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut kepada APMM di talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam. – Info X