Search

Operasi SAR mangsa dibaham buaya ditamatkan

September 29, 2023

Info X Reporters

KOTA BELUD: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki yang hilang disyaki dibaham buaya ketika memancing di Jeti Mantanani Paradise Kilapi, Kampung Rampaian Laut, di sini, minggu lalu, ditamatkan hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, operasi SAR memasuki hari kelapan dimulakan pagi tadi.

Katanya, SAR dijalankan pasukan penyelamat terdiri daripada JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan penduduk kampung dengan jarak keseluruhan pencarian 40 kilometer.

“Teknik pencarian Surface Water Searching dengan bot dan pencarian di dalam kawasan paya bakau, pemantauan udara serta pemantauan di pesisir pantai.

“Mangsa masih gagal ditemui dan hasil perbincangan dengan semua agensi yang diketuai Ketua Polis Daerah Kota Belud Superintendan Shahrudin Mat Husain, operasi SAR sehingga hari kelapan ditamatkan pada 5 petang tadi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Shahrudin bersama pegawai bomba berbincang dengan keluarga mangsa berkenaan penamatan operasi SAR, hari ini. – Foto/Bomba

Bagaimanapun katanya, operasi akan dibuka semula sekiranya mendapat petanda baru.

“Keluarga mangsa juga turut dipanggil bagi menerangkan berkenaan keseluruhan operasi yang dijalankan dan juga berkenaan penamatan operasi SAR,” katanya.

Terdahulu, dalam kejadian 11.26 malam pada 22 September lalu, mangsa Yusri Dulpi, 20, dilaporkan dibaham buaya di kawasan jeti berkenaan.

Menurut saksi, mangsa disambar buaya ketika menjalankan aktiviti memancing. – Info X