Search

Operasi cari dua beradik lemas diteruskan pagi ini

October 3, 2023

Info X Reporters

KENINGAU: Pencarian dua beradik yang dikhuatiri lemas di Sungai Pegalan, berhampiran Kampung Lingkudau, di sini, semalam diteruskan pagi ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua disambung jam 6.34 pagi tadi.

Katanya, pencarian dijalankan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan orang awam.

Pasukan bomba meneruskan operasi pencarian di pesisir Sungai Pegalan, Keningau. – Foto/Bomba

“Operasi pencarian mangsa dilakukan di pesisir sungai namun setakat ini mangsa belum ditemui.

“Pencarian diteruskan dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam, mangsa Azila Jabar, 12 dan adiknya Arlina, 9, dipercayai bermain berhampiran tebing sungai berkenaan sebelum Arlina terjatuh ke dalam sungai.

Azila kemudian terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan adiknya namun kedua-duanya hilang di dalam air. – Info X