Search

Mayat kakak ditemui, adik masih hilang

October 3, 2023

Info X Reporters

KENINGAU: Salah seorang daripada dua beradik yang dilaporkan hilang di Sungai Pegalan, berhampiran Kampung Lingkudau, di sini, semalam ditemui lemas pagi tadi.

Mayat Azila Jabar, 12, ditemui jam 11.36 pagi oleh pasukan bomba dan penduduk kampung, manakala adiknya masih belum ditemui.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Sharudy Delamin berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua dimulakan jam 6.34 pagi.

Katanya, operasi SAR dijalankan di kawasan dengan jarak 2.5 kilometer dari lokasi mangsa dipercayai tenggelam dengan menggunakan satu bot.

“Selain itu juga, operasi SAR dilakukan dengan teknik menyusuri tebing sungai berjalan kaki oleh pasukan mencari.

“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan operasi pencarian dengan melakukan selaman,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pasukan bomba membawa mayat Azila yang ditemui kira-kira 1.7 kilometer dari lokasi kejadian. – Foto/Bomba

Menurutnya, mangsa pertama berjaya ditemui oleh pasukan mencari selepas kelihatan terapung di permukaan sungai.

“Mangsa ditemui dalam keadaan terapung kira-kira 1.7 kilometer dari lokasi kejadian dan 500 meter dari pusat kawalan tempat kejadian (PKTK).

“Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sharudy berkata, operasi SAR mencari mangsa kedua diteruskan dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam, mangsa Azila Jabar, 12, dan adiknya Arlina, 9, dipercayai bermain berhampiran tebing sungai berkenaan sebelum Arlina terjatuh ke dalam sungai.

Azila kemudian terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan adiknya namun kedua-duanya hilang di dalam air. – Info X