Search

Hari jadi rasmi TYT Sabah – Acryl dahului senarai penerima darjah kebesaran

October 6, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mendahului senarai penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan negeri Sabah sempena Hari Jadi Rasmi Ke-70 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, esok.

Bekas Ketua Polis Negara berumur 62 tahun itu menerima darjah kebesaran tertinggi negeri Sabah, Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.

Selain beliau, seorang lagi menerima darjah kebesaran yang sama ialah Presiden Persatuan Alumni Universiti Taiwan Malaysia, Datuk Dr Tang Yong Chew, menjadikan hanya dua penerima SPDK pada tahun ini.

Sementara itu, seramai 88 orang individu menerima darjah kebesaran kedua tertinggi Sabah, Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk. Antara penerimanya ialah Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud; Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin; Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Joseph Kurup; dan Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui.

Selain itu, turut menerima PGDK ialah beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, antaranya Phoong Jin Zhe (Luyang) yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah; Hendrus Anding (Tandek), Jonnybone J Kurum (Telupid), Mokran Ingkat (Sungai Manila), Norazlinah Arif (Kunak), Samad Jambri (Labuk) dan George Hiew Vun Zin (Karamunting).

Turut menerima PGDK ialah Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Makhzan Mahyuddin; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Asits Sanna; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Senior Asistan Komisioner Habibi Majinji; dan Panglima Armada Timur, Laksamana Muda Datuk Pahlawan Muhammad Ruzelme Ahmad Fahimy.

Seterusnya ialah Setiausaha Perhubungan Awam kepada Ketua Menteri Sabah, Effendi Mohd Sunoh; Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Ceasar Mandela Malakun; Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Che Engku Suhaimi Che Engku Daik dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Raisin Saidin.

Selain itu, Ketua Pengarang Utusan Borneo, Lichong Angkui dan penyanyi tempatan popular, Francis Landong turut menerima PGDK.

Penerima lain antaranya ialah Pengerusi Perbadanan Pembangunan Bandar Sabah (SUDC), Jamawi Jaafar; Pengerusi Sabah Air Aviation Sdn Bhd, Kenny Chua Teck Ho dan Pengarah Tabung Haji Sabah, Datin Nurlaila Said.

Sementara itu, bekas Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Allahyarham Ag Askandar Ampuan Yaacub yang terkorban ketika misi pendakian Gunung Everest pada Mei lalu menerima pingat Ahli Darjah Kinabalu (ADK) secara Posthumous.

Secara keseluruhan, seramai 1,209 individu menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan negeri Sabah sempena Hari Jadi Rasmi Ke-70 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, esok.

Selain dua penerima SPDK dan 88 PGDK, selebihnya ialah lapan orang penerima Jaksa Pendamai (JP), diikuti Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) (118), Ahli Darjah Kinabalu (ADK) (228), Bintang Setia Kinabalu (BSK) (281), Bintang Kinabalu (BK) (310) dan Pingat Perkhidmatan Terpuji (PPT) (174). – Info X