Search

Jailton Paraiba ucap selamat tinggal kepada Sabah FC

October 9, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemain import Sabah FC dari Brazil, Jailton Paraiba, hari ini, mengumumkan meninggalkan pasukan berkenaan.

Perkara itu dikongsikan Paraiba menerusi akaun Intagramnya, namun tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai punca beliau meninggalkan Sabah FC.

Paraiba juga tidak berkongsi perkara yang berlaku hingga beliau tidak lagi dimasukkan dalam senarai pemain pasukan setiap kali ada perlawanan membabitkan Sabah FC sejak beberapa bulan lalu.

Kelibatnya tidak kelihatan dalam mana-mana perlawanan atau latihan pasukan sejak akhir Jun lalu hingga menimbulkan spekulasi mengatakan bahawa beliau menamatkan kontrak lebih awal dan sudah pulang ke Brazil.

Bagaimanapun, pada Julai lalu Paraiba tampil membuat pencerahan melalui laman Instagram beliau mengatakan dirinya diletakkan sebagai pemain simpanan dalam pasukan Bawah 23 (B-23) Sabah FC.

Sementara itu, dalam perkongsiannya di Instagram hari ini, pemain sayap berumur 32 tahun itu meluahkan rasa syukur dan terharu kepada peminat dan pemain Sabah FC sepanjang bersama skuad Sang Badak.

“Perjalanan yang kita lalui bersama dalam kelab bola sepak ini penuh dengan saat yang tidak boleh dilupakan, semangat dan sokongan tidak berbelah bahagi.

“Dengan rasa sedih dan harapan yang bercampur baur, saya mengumumkan keberangkatan saya dari kelab ini. Ini adalah tahun dedikasi, keringat dan cinta kepada pasukan dan saya berbangga mendapat peluang memakai baju ini (baju Sabah FC) dan mewakili anda semua di padang,” katanya.

Beliau kemudian menyatakan terima kasih kepada penyokong Sabah FC yang disifatkannya sebagai pemberi semangat kepada pasukan.

Katanya, walaupun meninggalkan Sabah FC, beliau akan sentiasa mengingati hubungan yang terbina sepanjang berada dalam pasukan berkenaan.

“Saya meninggalkan kelab ini dengan satu pencapaian kerana saya tahu saya sudah memberikan yang terbaik dalam setiap permainan dan bangga mewakili warna yang anda sayangi.

“Saya akan menjadikan setiap detik tinggal di sini sebagai memori berharga dan sumber inspirasi saya untuk cabaran yang mendatang,” katanya.

Sepanjang bersama Sabah FC, Paraiba sempat bermain dalam 14 perlawanan Liga Super dengan yang terakhir ketika Sabah FC menentang PDRM FC pada 8 Jun lalu.

Pada 2 Jun lalu, Paraiba dikejarkan ke hospital dengan ambulans selepas mengalami kecederaan ketika Sabah menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC di Alor Setar. – Info X