PENAMPANG: Polis menahan empat wanita warga asing dipercayai pelacur dalam satu serbuan Op Noda di sebuah premis di Jalan Bundusan, di sini, semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 2.40 pagi itu, Cawangan D7, Unit Pencegahan Judi/Maksiat dan Kongsi Gelap, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, turut menahan dua lelaki tempatan disyaki pelanggan.
Ketika serbuan, pegawai dan anggota D7 JSJ IPK Sabah memeriksa empat bilik di premis berkenaan.
Dua daripadanya didapati terdapat dua wanita warga asing bersama pelanggan disyaki sedang melakukan aktiviti persundalan.

Empat wanita warga asing berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun ditahan kerana disyaki melakukan aktiviti pelacuran.
Turut ditahan dua lelaki warga tempatan berusia 20 dan 30 tahun.
Pasukan serbuan turut merampas kondom, pelincir, telefon dan wang tunai.
Tangkapan dan barang rampasan kes dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Senior Asisten Komisioner (SAC) Azmi Abd Rahim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan rampasan berkenaan.
“Kejayaan ini hasil adalah daripada risikan dan maklumat pegawai dan anggota D7 IPK Sabah dalam usaha membanteras kegiatan pelacuran di negeri ini termasuk kegiatan persundalan melalui aplikasi atas talian.
“Kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 372 B Kanun Keseksaan,” katanya. – Info X