PENAMPANG: Seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai di Kampung Inobong, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, mangsa Ashley Preston Hartley, 13, dikatakan terjatuh ke dalam sungai ketika bermain di tepi sungai bersama empat rakannya.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan pada 6.27 petang sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa digerakkan oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapatkan maklumat terperinci dan seterusnya menjalankan operasi SAR.
“Operasi SAR dilakukan di kawasan mangsa dilaporkan jatuh dan di sepanjang pinggir sungai,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya setakat ini mangsa belum ditemui.
“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X