TAMBUNAN: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tambunan akan pastikan anggota parti bahagian itu tidak hanya diukur dari segi kuantiti, tetapi dari segi kualiti yang terbaik bagi menyumbang kepada kekuatan parti berkenaan dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) secara keseluruhannya.
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Tambunan, Datuk Victor P Paut berkata, walaupun Gagasan Rakyat baru saja ditubuhkan beberapa bulan lalu, tetapi parti itu telah berjaya menarik perhatian dan mendapat sokongan yang amat membanggakan di kalangan rakyat Sabah.
Jelasnya, sehingga kini ahli Gagasan Rakyat di seluruh Sabah telah melebihi 300 ribu orang dan pastinya jumlah itu akan bertambah dari semasa ke semasa.
“Di Tambunan, setelah Gagasan Rakyat kita tubuhkan, sambutan dan juga sokongan rakyat terhadap parti ini sangat membanggakan dan memberangsangkan di mana parti ini telah berjaya menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat sama ada golongan peniaga, kakitangan awam, pemuda, beliawanis mahu pun rakyat jelata.
“Oleh demikian selaku Ketua Gagasan Rakyat Tambunan, saya merayu kepada para perwakilan sekalian supaya bersama-sama dengan saya berusaha memperkasakan Gagasan Rakyat di daerah ini, sesuai dengan kedudukannya sebagai parti dominan dalam kerajaan negeri.
“Saya berharap kepimpinan parti di bahagian ini dapat mengambil usaha dan mengatur beberapa program yang mampu menarik minat dan memberi keyakinan kepada rakyat untuk menyokong dan menjadi ahli parti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Tambunan 2023, di Dewan Masyarakat Tambunan, pada Ahad.

Victor turut menggesa ketiga-tiga sayap Gagasan Rakyat Tambunan iaitu pergerakan pemuda, wanita dan beliawanis untuk terus berkerja keras dan memperbanyakkan aktiviti bersesuaian dengan kumpulan sasar masing-masing.
“Fokus utama kita ialah untuk mendapatkan 10,000 orang ahli pada tahun hadapan. Kepada pemuda dan beliawanis saya berharap dapat menumpukan usaha menarik sokongan lebih ramai belia dan beliawanis untuk menyertai Gagasan Rakyat kerana belia dan beliawanis pada hari ini adalah bakal pemimpin pada hari esok.
“Sejumlah 4,500 borang keahlian telah diedarkan dan sehingga kini dalam masa beberapa bulan saja ahli Gagasan Rakyat Tambunan telah melebihi 2,000 orang dan menjelang penghujung tahun ini, Gagasan Rakyat Tambunan dijangka mencapai lebih 3,000 orang dan kita juga telah berjaya menubuhkan 53 cawangan di Tambunan,” katanya.
Sementara itu, Victor berkata, selaku Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Tambunan, beliau ingin jelaskan dan ia harus difahami bahawa kehadiran parti Gagasan Rakyat di Tambunan ini adalah untuk membantu mengukuhkan lagi kedudukan dan kekuatan GRS selaku parti pemerintah negeri dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Gagasan Rakyat Tambunan tidak sekali-kali berniat untuk bersaing dengan rakan parti komponen dalam GRS kerana kita mempunyai matlamat yang sama iaitu memastikan kemenangan GRS pada PRN akan datang.
“Bagaimanapun adalah menjadi kelaziman sesebuah parti itu mengambil langkah-langkah untuk memperkasakan kedudukan parti masing-masing,” katanya.
Di akhir majlis itu, Victor turut menyampaikan sumbangan kepada pemenang gusti lengan dunia kategori 18 tahun ke bawah yang juga ahli pergerakan pemuda Gagasan Rakyat Tambunan iaitu Wayner Oliver dan Nathanael Evander Sooyon.
Selain itu, beliau turut menyampaikan sumbangan peruntukan baju korporat komiti pelayan umat KUK St David Monsorolung, Tambunan; sumbangan peralatan pejabat Rela; sumbangan PA system dan hadiah pemenang yang mempunyai keahlian teramai iaitu cawangan Sinsuron Tambunan dengan keahlian seramai 170 orang.
Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Tambunan 2023 dihadiri seramai 400 orang perwakilan daripda 52 cawangan.
Turut hadir, Timbalan Ketua Gagasan Rakyat Bahagian Tambunan Mohd Yassin Mohd Yunus, Hussin Hassan (Naib Ketua Bahagian), Mohd Hajjaz Iqbal Yusof, (Setiausaha Bahagian), Rahim Yasin (Ketua Penerangan Bahagian), Datuk Amelia Ajun (Ketua Pergerakan Wanita Bahagian), Rafi Arshad (Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian) dan Vianney Evana Vide (Ketua Beliawanis Bahagian). – Info X