TAWAU: Seorang lelaki warga asing yang dipercayai pengedar dadah ditahan polis bersama dadah disyaki syabu lebih tiga kilogram bernilai RM180,000 di sebuah rumah atas air di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas, di sini, Isnin lalu.
Suspek berusia 42 tahun ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau ketika suspek sedang leka membungkus dadah syabu, kira-kira jam 1 petang.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat awam mengenai kegiatan yang dilakukan oleh suspek terbabit.
Katanya, sepasukan polis digerakkan untuk melakukan risikan dan serbuan ke atas sebuah rumah atas air di kampung berkenaan.
“Ketika serbuan, seorang lelaki yang berada di dalam rumah berkenaan bertindak agresif dan cuba melarikan diri, namun berjaya ditangkap oleh pasukan serbuan.
“Siasatan awal mendapati, suspek adalah warga asing dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut, pasukan serbuan menemukan tiga bungkusan plastik lutsinar mengandungi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 3,096.56 gram di ruang tamu rumah berkenaan.
“Turut ditemukan beberapa jenis peralatan yang dipercayai digunakan untuk membungkus syabu dalam paket kecil sebelum dijual kepada penagih.
“Polis juga percaya dadah yang dirampas itu adalah untuk pasaran penagih tempatan dan daerah berhampiran berdasarkan penemuan barang pembungkusan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, semua barang rampasan termasuk dadah berkenaan dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan selanjutnya.
“Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 17 Oktober depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Sementara itu, Jasmin berkata, sepanjang tahun ini, pihaknya sudah membuka 19 kes kertas siasatan dibawah Seksyen 39B ADB 1952 yang melibatkan 30 orang tangkapan dan rampasan dadah sebanyak 34,875.69 gram.
“IPD Tawau juga telah mengaktifkan risikan dan serbuan untuk mengesan kes serta rangkaian dadah berskala besar di daerah ini.
“Kita mengalu-alukan kerjasama serta maklumat daripada orang awam untuk bersama-sama membanteras aktiviti pengedaran dadah di daerah ini,” katanya. – Info X