KINABATANGAN: Tujuh termasuk tiga kanak-kanak cedera selepas kereta yang mereka naiki berlanggar dengan sebuah lori di berhadapan bangunan Jabatan Kerja Raya (JKR), di sini pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.47 pagi.
Katanya, sepasukan lima anggota dan pegawai bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat.
“Operasi turut dibantu oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta berlanggar dengan lori 10 tan yang membawa muatan batu,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, terdapat tujuh mangsa di dalam kereta berkenaan dan salah seorang daripadanya tersepit, namun berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.
“Mangsa yang tersepit itu dihantar ke hospital menggunakan kenderaan ambulan KKM, manakala enam lagi di hantar oleh orang awam untuk menerima rawatan lanjut.
“Pemandu lori terbabit pula, tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes berkenaan diserahkan kepada pihak polis,” katanya.

Azlan berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kemalangan selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 9.33 pagi. – Info X