KOTA KINABALU: Pemandu bas pelancong berdepan detik cemas apabila bas yang dipandunya terbakar dalam kejadian di Simpang Sutera Harbour, Jalan Coastal, di sini, petang ini.
Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, bas jenis Weststar 12 penumpang dalam perjalanan hendak mengambil pelancong di lapangan terbang.
Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba terbakar pada bahagian enjin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 4.11 petang.
Katanya, seramai sembilan pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke tempat kejadian.

“Setiba di lokasi, kebakaran telah dipadamkan oleh orang awam menggunakan satu unit alat pemadam api dan satu aliran Advance Firefighting Technology (AFT) dari anggota unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM).
“Operasi terkawal pada 4.18 petang dan kebakaran di bahagian enjin yang terbakar sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan terbabit.
“Operasi ditamatkan pada 4.20 petang,” katanya. – Info X