Search

PPM tahan juragan, 8 PATI

October 15, 2023

Info X Reporters

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan seorang juragan bersama lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dalam satu Op Taring Gelora Khas di perairan Laut Kampung Terusan, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.50 malam itu, ketika pasukan PPM Semporna menjalankan operasi berkenaan mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan.

PPM bertindak menahan dan memeriksa bot berkenaan yang dijuragani lelaki berusia 31 tahun dan mendapati seramai tujuh lelaki dan seorang wanita dewasa tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah untuk masuk ke negeri ini manakala dua individu memiliki dokumen.

PATI yang ditahan selepas memasuki perairan negara di Semporna. – Foto/PPM

Hasil soal siasat, juragan bot laju itu bergerak dari Sitangkai, Filipina masuk ke Kampung Terusan, Semporna dan membawa seramai 11 individu dengan mengenakan bayaran RM300 seorang. Semua 11 individu ini mengatakan datang ke Semporna untuk bekerja.

Seterusnya pemeriksaan lanjut juga mendapati juragan bot gagal menunjukkan lesen bot.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Pangkalan PPM Semporna dan dirujuk ke Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007,” katanya. – Info X