Search

7 wanita warga Filipina dipaksa kerja di pusat hiburan diselamatkan

October 15, 2023

Junaidi Ladjana

LABUAN: Polis menyelamatkan seramai tujuh wanita warga Filipina yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia dalam serbuan di dua premis, di sini, pada Jumaat lalu.

Semua mereka berusia lingkungan 25 hingga 33 tahun diselamatkan menerusi Ops Pintas oleh polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan, kira-kira jam 7.30 malam.

Ketua Polis Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, pihaknya menerima aduan kejadian pemerdagangan manusia membabitkan dua wanita warga Filipina di sebuah hotel, di sini, pada Jumaat lalu.

Katanya, maklumat awal diterima daripada pihak Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur yang menerima panggilan daripada mangsa memohon untuk diselamatkan.

“Kedua-dua mangsa menghubungi pihak Kedutaan selepas melarikan diri dari tempat penginapan mereka.

“Tindakan polis melalui Op Pintas, berjaya menyelamatkan keseluruhan tujuh wanita warga Filipina yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia yang dipaksa bekerja di sebuah premis hiburan dalam kawasan bandar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, susulan itu polis turut menahan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga Filipina untuk membantu siasatan.

“Hasil siasatan lanjut mendapati semua mangsa bekerja sebagai pelayan di premis hiburan berkenaan.

“Pemohonan perintah reman ke atas dua tangkapan dari Mahkamah Majistret Labuan telah dibenarkan selama enam hari bermula hari ini hingga 20 Oktober,” katanya.

Mohd Hamizi berkata, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. – Info X