Search

Terima penghargaan SPRM bukan bermakna ‘kebal’ dari disiasat – Azam Baki

October 16, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, penghargaan daripada agensi itu bukanlah jaminan mereka yang menerimanya bebas daripada siasatan jika ada laporan salah laku.

Katanya, mana-mana agensi tetap disiasat dan didakwa di mahkamah jika ada laporan salah laku walaupun pernah menerima penghargaan daripada SPRM.

“Perlu ditegaskan penghargaan ini bukan suatu jaminan bahawa agensi tidak akan disiasat oleh SPRM ataupun dituduh di mahkamah sekiranya terdapat salah laku rasuah dan penyelewengan pada masa akan datang,” katanya pada Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah 2023 (KITA 2023) anjuran bersama Kerajaan Negeri Sabah dan SPRM, di sini, hari ini.

Azam mengulas inisiatiif SPRM menghargai usaha pihak berkaitan dalam memperkukuhkan sistem prosedur dan tata kelola masing-masing seperti saranan yang dibuat oleh SPRM.

Katanya, penghargaan yang dikenali sebagai Apresiasi Penambahbaikan Tata Kelola Agensi (APTA) itu diadakan bagi menghargai usaha dan komitmen organisasi dalam mengambil tindakan penambahbaikan ke atas sistem dan prosedur bagi menutup ruang perlakuan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dalam organisasi.

“Syor-syor yang dipatuhi sepenuhnya oleh pihak terbabit bukan saja berjaya mengekang isu rasuah daripada berulang, bahkan berjaya meningkatkan hasil dan kedudukan organisasi ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Sempena KITA 2023, empat organisasi diberikan sijil penghargaan APTA, iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM); Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, Perak; Kementerian Kewangan Sabah dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).

“Adalah diharapkan pada tahun-tahun akan datang lebih banyak lagi organisasi akan diberikan penghargaan yang sama,” katanya. – Info X