KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mengulangi pendiriannya terhadap usaha membanteras gejala rasuah dalam kalangan penjawat awam melalui ketegasannya dalam hal berkaitan integriti, akauntabiliti dan ketelusan.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kepemimpinan kerajaan negeri amat menitikberatkan ketiga-tiga prinsip itu seperti digariskan dalam strategi pertama ke arah pembudayaan dan pengukuhan integriti dalam perkhidmatan awam di negeri ini.
Katanya, perkara pertama daripada lima strategi yang digariskan kerajaan negeri itu menekankan komitmen pengurusan atasan bagi membudaya dan mengukuhkan integriti penjawat awam negeri.
“Kepemimpinan kerajaan negeri amat menitikberatkan prinsip integriti, akauntabiliti dan ketelusan yang dapat dilihat melalui sokongan pengurusan tertinggi bagi memastikan negeri ini melonjak sebagai pelopor, peneraju dan penanda aras dalam pengurusan GIA (Governans, Integriti dan Antirasuah),” katanya ketika merasmikan Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) 2023, di sini, hari ini.
Beliau turut menyempurnakan Penyerahan Sijil Tamat Program Pegawai Integriti Bertauliah (CelO) Siri 36 Bilangan 3 Tahun 2023 Kerajaan Negeri Sabah. Yang turut hadir ialah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong.
Hajiji berkata, strategi kedua yang digariskan turut menekankan usaha memantapkan kesedaran mengenai kepentingan penilaian risiko dalam organisasi.
“Pengurusan risiko rasuah dilaksanakan di setiap agensi untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran pegawai agar bertanggungjawab dalam setiap tindakan dan kuasa yang diberi.
“Seterusnya strategi ketiga ialah memantapkan langkah kawalan membendung risiko dan ancaman isu integriti, rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
“Strategi keempat pula berkaitan keberkesanan pemantauan dan penguatkuasaan dalam memastikan pematuhan setiap pihak berkepentingan dalam organisasi semua agensi Kerajaan Negeri Sabah.
“Akhir sekali yang kelima, ialah usaha pemerkasaan latihan dan komunikasi nilai-nilai Murni bagi meningkatkan pemahaman dan kemahiran pegawai kerajaan dalam membanteras isu integriti dan rasuah,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri melalui Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilaksanakan ketika ini bukan saja berusaha memulih dan membangunkan semula ekonomi negeri, malah memantapkan sistem penyampaian kerajaan agar lebih cekap, telus, pantas dan tangkas.
Bagi mencapai usaha itu katanya, ia memerlukan penjawat awam yang berdedikasi, berdisiplin dan berintegriti dalam memikul dan menggalas tanggungjawab yang diamanahkan.
“Di Sabah, kerajaan negeri memetakan Hala Tuju SMJ sebagai landasan dengan hasrat membawa citra inklusiviti, pemilikan bersama, kesatuan dan tanggungjawab setiap anak watan untuk menjayakan agenda pembangunan negeri.
“Pemboleh daya keempat dalam Pelan Pembangunan SMJ 2021- 2025 adalah Kecemerlangan Tadbir Urus Yang Berintegriti. Nilai integriti menjadi asas dan keperluan utama dalam mencapai misi dan visi yang disasarkan.
“Bagi tujuan ini, kecemerlangan tadbir urus boleh dicapai melalui empat strategi utama, iaitu meningkatkan agenda antirasuah; penerapan nilai-nilai murni dan etika kerja terbaik; memperkukuh mekanisme semak dan imbang serta pembangunan pelan antirasuah organisasi,” katanya.
Mengenai KITA 2023 yang bertemakan ‘Integriti Teras Perkhidmatan Madani’ adalah, Hajiji berkata ia selaras aspirasi kerajaan negeri menganjurkan konvensyen bertemakan integriti yang dizahirkannya pada sambutan Hari Integriti Negeri Sabah tahun lalu.
Katanya, KITA 2023 menjadi mercu kebanggaan kerajaan negeri sebagai tuan rumah rasmi yang mempunyai hak eksklusif sebagai penganjur, sekali gus menjadikan Sabah sebagai pelopor, peneraju dan penanda aras dalam pengurusan GIA di Malaysia. – Info X