Search

Buaya mengganas lagi, kali ini di Kinabatangan

October 23, 2023

Willie Jude

KINABATANGAN: Satu lagi kes serangan buaya berlaku di negeri ini dalam tempoh sembilan hari, kali ini di Ladang Maisang Sime Dardy Sukau, di sini, membabitkan seorang individu yang belum dikenalpasti identitinya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung seorang mangsa dikhuatiri dibaham buaya pada jam 3.10 minit petang, hari ini.

“Sepasukan anggota seterusnya bergegas ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

“Setakat ini, pihak kami belum mendapat maklumat mengenai identiti mangsa, sebarang maklumat berhubung kejadian ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Terdahulu, dua kes serangan buaya turut berlaku di Lahad Datu dan Tawau, masing-masing pada 15 dan 19 Oktober.

Kes serangan reptilia itu di Lahad Datu membabitkan seorang lelaki dikenali sebagai Salim Sakka, 50, yang dilaporkan dibaham buaya ketika melakukan aktiviti memukat ikan di Sungai Silabukan.

Sementara itu dalam kes di Tawau, seorang lagi lelaki menjadi mangsa serangan buaya di Sungai Burung Kampung Mas-Mas.

Mangsa dikenali sebagai Asdar dipercayai dibaham buaya ketika melakukan aktiviti memancing di tebing sungai berkenaan.

Setakat ini, kedua-dua mangsa terbabit masih belum ditemui. – Info X