RANAU: Kes seorang lelaki yang cuba melarikan sebuah kenderaan milik orang lain di hadapan kedai runcit, di tepi jalan Kampung Pinousuk, Kundasang, di sini, turut disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik.
Ini selepas suspek turut dilaporkan membawa bersama enam kanak-kanak ketika melarikan kenderaan jenis Proton Pesona terbabit.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, selain disiasat kerana menculik, suspek juga disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.
“Polis Daerah Ranau telah menerima maklumat mengenai video tangkapan pihak polis terhadap suspek yang telah tular di media sosial.
“Justeru itu, pihak polis sedang menjalankan siasatan untuk memastikan tindakan dari sudut perundangan dilaksanakan.
“Kes telah disiasat di bawah Seksyen 379A dan Seksyen 365 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, tular video seorang lelaki diberkas polis dan orang awam selepas mencuri sebuah kenderaan di kira-kira jam 5 petang tadi
Ketika kejadian terdapat enam murid di dalam kenderaan berkenaan. – Info X