Search

Bot habis minyak hanyut ke Filipina, pasangan warga emas selamat

November 1, 2023

Info X Reporters

SANDAKAN: Suami isteri warga emas berdepan detik cemas selepas bot yang mereka naiki kehabisan minyak dan hanyut sehingga ke perairan Filipina, pada Ahad lalu.

Md Asibih Tamang, 73, dan isterinya Fatima Ulo, 65, dalam perjalanan dari Terusan Sugut menuju ke Batu Putih, di sini untuk ke rumah anaknya, kira-kira jam 8 pagi.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka tidak tiba di destinasi berkenaan yang sepatutnya hanya mengambil masa selama dua jam sahaja, sebelum laporan dibuat kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Pasangan warga emas selamat tiba Jeti Zon Maritim Sandakan untuk diserahkan kepada keluarga mereka. – Foto/APMM

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.30 petang.

Katanya, selepas mendapat laporan, Martime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu mengaktifkan operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) pada hari yang sama.

Menurutnya, kedua-dua mangsa berjaya dihubungi dan dilaporkan berada dalam keadaan selamat di Pulau Mapun, Filipina, pada Isnin.

“Mangsa diberikan bantuan oleh nelayan tempatan, sebelum menghantar mereka pulang dan diserahkan kepada APMM di kawasan berhampiran Tanjung Pamaguan.

“Pasangan berkenaan kemudian dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk diserahkan kepada keluarga mereka, semalam,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Bot pasangan warga emas dibantu oleh bot nelayan selepas hanyut akibat kehabisan minyak. – Foto/APMM

Zainudin berkata, mangsa memaklumkan mereka menjadikan Pulau Tikus sebagai panduan perjalanan namun tersesat sehingga bot kehabisan minyak berhampiran Pulau Lankayan.

Katanya, mangsa kemudiannya mendapatkan bantuan petugas yang berada di Pulau Lankayan untuk mengisi minyak.

“Bagi mengelakkan daripada tersesat untuk ke destinasi yang dituju, petugas berkenaan menasihati mereka agar mengikuti sebuah kapal yang akan menuju ke Sandakan sebagai pandu arah.

“Namun, selepas beberapa ketika mengikuti kapal itu, bot mereka memintas kapal terbabit dengan alasan ia bergerak terlalu perlahan dan khuatir berlakunya ribut.

“Malangnya, tindakan itu membuatkan mereka tersesat dan kehabisan minyak semula sehingga hanyut ke Pulau Mapun, Filipina,” jelasnya.

Berikutan kejadian itu, Zainudin mengingatkan kepada komuniti maritim supaya mematuhi langkah keselamatan sepanjang berada di laut bagi mengelak daripada berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Sekiranya berlakunya insiden di laut, orang ramai boleh terus menghubungi bilik operasi 24 jam Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian MERS 999,” katanya. – Info X