TAWAU: Hanya sebanyak 335 metrik tan beras bersubsidi dihadkan dalam sebulan untuk dipasarkan di kawasan Pulau Sebatik, di sini.
Ketua Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Cawangan Tawau, Mohd Nur Edzudin Abu Bakar berkata, jumlah itu diberikan kepada 30 pemegang lesen yang berdaftar untuk keperluan kira-kira 52,000 orang penduduk di pulau itu.
Katanya, tujuan mengehadkan jumlah pengeluaran beras berkenaan adalah bagi mengawal daripada ia diseleweng keluar ke negara jiran.
“Jumlah itu adalah hasil data daripada Jabatan Perangkaan mengenai penduduk di pulau berkenaan dan mengikut keperluan penggunaan mereka dalam tempoh sebulan.
“Kita tidak akan benarkan beras bersubsidi ini dibawa keluar melebihi paras had yang ditetapkan dalam sebulan dan menjadi panduan bagi mengawal daripada ia diseleweng ke negara jiran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Operasi Bersepadu Beras Subsidi di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Tawau di sini hari ini.
Menurutnya, KPB tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak khususnya pemegang lesen yang cuba membawa keluar beras bersubsidi ke negara jiran.
“Kita tidak mahu pemegang lesen ini mengambil kesempatan dengan kemudahan yang mereka ada untuk menyeleweng beras ke sempadan negara.
“Justeru, saya berharap semua pemegang lesen yang ingin membuat perniagaan beras dalam kuantiti yang besar supaya membuat permohonan ke pejabat kawalselia bagi mengelak dikenakan tindakan,” katanya.
Mengulas mengenai isu cubaan penyeludupan beras di Lahad Datu pada 27 Oktober lepas, beliau berkata, pihaknya menyerahkan kes itu kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melakukan siasatan.
“Saya dimaklumkan Maritim Malaysia akan membuat siasatan dan KPB masih menunggu perkhabaran dari agensi berkenaan.
“Sebab itu saya maklumkan kepada semua agensi jika ada tangkapan dan mahu menyerahkan kepada KPB, kita akan terima atau agensi berkenaan mahu buat siasatan sendiri tiada masalah,” katanya.
Terdahulu, operasi berkenaan dijalankan dengan kerjasama enam agensi penguatkuasa dan keselamatan bagi membuat operasi melakukan pemantauan berkaitan beras yang akan dijalankan selama 14 hari. – Info X