Search

Geng Leleh tumpas, MO beri salam, ketuk pintu sebelum pecah masuk

November 10, 2023

Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Beri salam sambil ketuk pintu atau membunyikan lonceng rumah. Sekiranya tiada jawapan, kumpulan jenayah ini akan memecah masuk rumah sebelum melarikan barangan berharga.

Itu antara mondus operandi yang digunakan Geng Leleh yang dianggotai empat lelaki bagi melakukan jenayah pecah rumah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, tiga daripada empat ahli geng itu berjaya ditahan termasuk ketuanya dikenali sebagai Leleh dalam beberapa siri tangkapan di sekitar bandar raya ini bermula 6 hingga 8 November lalu.

Mohd Zaidi (tengah) ketika sidang media susulan penahanan Geng Leleh di IPD Kota Kinabalu.

Katanya, semua suspek yang giat melakukan kegiatan pecah rumah pada waktu siang itu ditahan di kawasan jejantas Segama, Safma dan Kampung Air.

Menurutnya, terdahulu pihaknya menerima laporan daripada mangsa, pada 27 Oktober lalu yang mendakwa rumahnya dipecah masuk dan pelbagai barangan berharga bernilai kira-kira RM60,000 hilang.

“Bertindak dengan laporan polis yang dibuat salah mangsa, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menubuhkan task force diketuai Asisten Superintendan Polis Henry AK Laiyau bagi menjalankan operasi mengesan suspek.

“Berdasarkan maklumat risikan serta maklumat berkualiti daripada orang awam, polis berjaya menahan tiga suspek ahli kumpulan Geng Leleh iaitu ketuanya berusia 28 tahun serta dua lagi rakan sejenayah masing-masing warga tempatan berusia 40 tahun dan lelaki warga asing berusia 28 tahun,” katanya dalam sidang media di IPD Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Mohd Zaidi menunjukkan antara barangan yang dirampas ketika sidang media di IPD Kota Kinabalu.

Hadir sama, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu, Deputi Superintendan Polis Khairul Shah Peri.

Mohd Zaidi berkata, dengan penangkapan ketiga-tiga suspek ini berjaya menyelesaikan 16 kes pecah rumah pada waktu siang membabitkan 12 kes di Kota Kinabalu termasuk lapan di Luyang, dua Tanjung Aru dan satu kes di sini manakala kes lain turut direkodkan di Penampang, Beaufort serta Papar.

“Hasil siasatan mendapati kumpulan ini aktif menjalankan kegiatan pecah rumah sejak September dan modus operandi yang digunakan mereka adalah dengan berlegar-legar di perumahan mewah dan kawasan yang berpotensi untuk dipecah masuk.

“Suspek akan menekan lonceng rumah dan memberi salam bagi mengenal pasti sama ada rumah terbabit berpenghuni atau sebaliknya, sekiranya tiada jawapan, suspek akan memecah masuk dan melarikan barangan berharga,” katanya.

Antara barangan yang dirampas selepas menahan tiga ahli Geng Leleh.

Mengulas lanjut, Mohd Zaidi berkata, jumlah keseluruhan kerugian yang disebabkan oleh kegiatan kumpulan ini mencecah RM336,000 termasuk wang tunai RM40,000, barangan kemas, jam berjenama, komputer riba, telefon bimbit, serta peri besi yang menyimpan wang tunai pelbagai mata wang.

“Suspek akan melupuskan barangan yang dicuri dengan cara menjual serta menggadainya ke kedai barang kemas, pengurup wang serta orang awam di sekitar kawasan Segama dan Kampung Air.

“Setakat ini, polis juga menahan sembilan individu termasuk empat lelaki dan lima wanita yang kerap membeli barangan yang dicuri terutama barang kemas.

“Pekerja kedai pajak gadai dan pengurup wang juga antara yang ditahan serta seorang penyewa yang bersubahat dengan menyimpan barangan curi di tempat tinggalnya serta orang tengah yang berperanan menjual barangan yang dicuri,” katanya.

Mohd Zaidi menunjukkan kereta sewa yang digunakan suspek untuk melakukan jenayah pecah rumah.

Beliau berkata, pasukan serbuan berjaya merampas beberapa barangan kemas, surat pajak gadai, jam tangan berjenama, komputer riba dan wang tunai RM36,000 termasuk tukaran mata wang asing di kedai pengurup wang ketika penahanan suspek.

Tambahnya, turut dirampas sebuah kenderaan jenis sedan yang disewa dan motosikal untuk menjalankan kegiatan pecah rumah.

“Hasil siasatan lanjut mendapati ketua kumpulan yang ditahan mempunyai enam rekod jenayah lampau termasuk tiga kesalahan dadah, dua samun serta satu kes curi.

“Semua suspek yang ditahan turut positif dadah jenis syabu dan suspek akan direman dan disiasat mengikut Sekyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, katanya setakat ini seorang lagi ahli Geng Leleh masih bebas dan polis sedang menjalankan operasi mengesan suspek yang juga warga asing dikenal pasti sebagai Musa berusia 20-an.

“Polis akan cuba mendapatkan gambar suspek dan akan mengedarkan kepada pihak awam yang akan membantu menyalurkan maklumat berkenaan suspek.

“Tahniah kepada pasukan BSJ IPD Kota Kinabalu bersama pasukan task force kerana berjaya melaksanakan penangkapan Geng Leleh sekali gus menumpaskan kegiatan pecah rumah yang hanya berlaku selama dua bulan.

“Kita juga berterima kasih dengan maklumat yang disalurkan oleh orang awam sehingga membantu mengesan suspek terbabit,” katanya. – Info X