Search

13 cedera gas amonia bocor di kilang ais

November 10, 2023

Info X Reporters

SANDAKAN: Seramai 13 cedera termasuk seorang parah dalam insiden kebocoran gas amonia di sebuah kilang ais di Batu 3, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, semua mangsa mengalami pelbagai kecederaan termasuk sakit mata, kulit dan sesak nafas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui berkata, kejadian berlaku apabila salah sebuah mesin membuat ais pecah menyebabkan berlakunya kebocoran gas amonia.

Katanya, pasukan Bomba yang lengkap berpakaian khas (PPE CPS) bertindak mengeluarkan mangsa yang terperangkap di dalam bangunan.

Pasukan HAZMAT membuat nyahcemar dan sanitasi di seluruh kawasan terbabit. – Foto/Bomba

“Kejadian membabitkan 13 mangsa keseluruhan termasuk seorang lelaki parah, tiga termasuk dua wanita mengalami sesak nafas dan sakit mata manakala enam lelaki serta seorang wanita sakit di bahagian mata dan kulit.

“Dua lagi individu hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya semua mangsa diberi rawatan awal di lokasi kejadian oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum di hantar ke hospital menggunakan jentera EMRS dan van ambulan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pasukan bomba bersama Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) seterusnya membuat nyahcemar dan sanitasi di seluruh kawasan terbabit.

“Pemantauan turut dijalankan di kawasan bangunan berhampiran dan mengarahkan semua pekerja untuk segera keluar dari ke kawasan yang diisytiharkan selamat,” katanya.

Tambahnya, pasukan polis juga mengarahkan kawasan kejadian dan kawasan berhampiran ditutup membabitkan radius 100 meter sehingga keadaan selamat.

“Sebaik memastikan tiada lagi unsur bahaya lain di sekitar lokasi kejadian, operasi ditamatkan pada jam 12:06 tengah hari.

“Bagaimanapun pemantauan akan dijalankan dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X