BEAUFORT: Polis tahan pemandu dan kelindan lori yang membawa produk haiwan tanpa permit di Jalan Klias Baru Beaufort-Papar, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, antara produk haiwan yang dirampas iaitu ayam sejuk beku dengan pelbagai jenis bahagian dan juga telur dengan pelbagai jenis gred dianggarkan bernilai RM30,000.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Ismail Abdullah berkata, serbuan itu dijalankan oleh pasukan operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort.
Katanya, hasil pemeriksaan ke atas sebuah lori jenis Isuzu yang dipandu suspek lelaki dan kelindan berusia lingkungan 20 dan 30 tahun menemui pelbagai produk haiwan tanpa permit.
“Berdasarkan hasil pendedahan kedua-dua tangkapan terbabit, semua produk haiwan tanpa permit itu dibawa keluar dari Sabah bagi pasaran Sarawak.
“Semua produk haiwan tanpa permit itu dirampas dan dibawa ke IPD Beaufort sebelum diserahkan kepada pegawai penguat kuasa Veterinar Sabah untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ismail berkata, antara produk haiwan tanpa permit yang dirampas adalah ayam sejuk beku dengan pelbagai bahagian dan juga telur dengan pelbagai jenis gred yang merupakan barang kawalan bersubsidi kerajaan.
“Anggaran rampasan berjumlah hampir RM30,000.
“Kedua-dua suspek diserahkan kepada penguat kuasa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah bagi siasatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Kesalahan Enakmen Haiwan 2015. – Info X