Search

Wanita maut, teman lelaki parah motosikal terbabas langgar tiang

November 18, 2023

Info X Reporters

PUTATAN: Seorang wanita maut manakala teman lelakinya parah selepas motosikal yang ditunggangi mereka terbabas dan melanggar tiang lampu di tengah pembahagi jalan di Jalan Papar – Kota Kinabalu, berhampiran Kem Lok Kawi, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, motosikal yang dibonceng wanita berusia lingkungan 18 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, hasil siasatan awal polis di lokasi kejadian mendapati penunggang motosikal dari arah Kota Kinabalu menuju ke Papar.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, dipercayai motosikal disyaki ditunggang dalam keadaan laju terbabas sehingga melanggar tiang lampu di tengah pembahagi jalan.

“Akibat daripada kemalangan itu, pembonceng wanita telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

“Penunggang motosikal lelaki berusia 19 tahun parah dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

lokasi kemalangan di Jalan Papar – Kota Kinabalu, berhampiran Kem Lok Kawi, Putatan. – Foto/PDRM

Menurutnya, mayat mangsa wanita turut dihantar ke HQE I Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Sammy berkata polis ingin menasihatkan orang awam supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu di jalan raya dan meminta supaya tidak menularkan sebarang imej atau klip video tempat kejadkan di rangkaian media sosial bagi menjaga sensitivi keluarga mangsa. – Info X