Search

JKM Sabah cari waris bayi ditemui di masjid

November 21, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sabah sedang mengesan waris kepada seorang bayi perempuan yang ditemui oleh orang awam di Masjid Al Mawaddah, Taman Seri Gaya, Jalan Maktab Gaya, Luyang, di sini, 5 November lalu.

Menerusi satu kenyataan, JKM Sabah berkata, bayi yang berusia 22 hari itu dikenali sebagai Ayra Sofia ditinggalkan di lokasi berkenaan dalam keadaan lengkap berpakaian dan diletakkan dalam sebuah kotak beserta dengan nota.

“Bayi itu dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Likas bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan.

“Bayi dirujuk memerlukan pemeliharaan dan perlindungan sebagaimana peruntukan Seksyen 17(1)(e) Akta Kanak-Kanak 2001 dan pada 20 November 2023 di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak (MBKK) Kota Kinabalu, kanak-kanak diperintah untuk diletakkan di institusi jabatan mengikut Seksyen 30(1)(c)(i) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sabah, hari ini.

Sehubungan itu, katanya mana-mana pihak yang mengetahui berkenaan kelahiran bayi terbabit serta mengenali ibu kandung atau waris dapat menghubungi Pelindung atau tampil ke Pejabat Kebajikan Bahagian Kota Kinabalu.

JKM Negeri Sabah mengesan waris bayi perempuan yang ditinggalkan di Masjid Al Mawaddah, Taman Seri Gaya, Jalan Maktab Gaya, Luyang, Kota Kinabalu, 5 November lalu.

“Ini bagi membantu jabatan mengesan ibu kandung serta waris dan seterusnya membuat keputusan terbaik bagi penempatan dan kebajikan kanak-kanak.

“Pelindung iaitu Sitti Ruhayah Setang di Pejabat Kebajikan Bahagian Kota Kinabalu, boleh dihubungi di talian 088-269821, email [email protected],” katanya.

Terdahulu, Info X melaporkan bayi perempuan ditinggalkan di tempat mengambil wuduk Masjid Taman Seri Gaya, Luyang, di sini, kira-kira 9 malam, pada 5 November lalu.

Bayi yang cukup sifat ditemukan Imam masjid berkenaan selepas terdengar suara ketika keluar dari kenderaan untuk masuk ke rumahnya yang terletak di belakang masjid. – Info X