Search

FeRTAS sambut baik peruntukan RM106.14 juta untuk pelancongan luar bandar

November 27, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Gabungan Persatuan Pelancongan Luar Bandar Sabah (FeRTAS) menyambut baik pengumuman peruntukan sebanyak RM106.14 juta untuk pembangunan pelancongan luar bandar di negeri ini.

Presidennya, Walter Kandayon berkata, peruntukan yang diumumkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun pada pembentangan Bajet 2024 Sabah itu amat wajar memandangkan pelancongan luar bandar, terutama pelancongan berasaskan komuniti (CoBT) mula menunjukkan hasil yang signifikan.

Katanya, walaupun pembangunan CoBT hanya mula dirancakkan lapan tahun lalu oleh Lembaga Pelancongan Sabah (STB), namun program itu sudah terbukti berupaya menyumbang kepada pembangunan negeri.

“CoBT berjaya menjana pendapatan, peluang pekerjaan dan pembangunan modal insan di luar bandar.

“Sebagai contoh ada beberapa CoBT di Kiulu dan Kota Belud yang diangkat oleh Kerajaan Negeri sebagai perintis pembangunan pelancongan luar bandar mampu menjana pendapatan sehingga menjangkau RM20,000 sebulan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Walter berkata, dengan adanya peruntukan yang lebih besar, lebih banyak program yang membabitkan pelancongan komuniti di luar bandar dapat dilaksanakan.

Beliau bagi pihak komuniti pelancongan luar bandar di Sabah dan FeRTAS turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Sesungguhnya FeRTAS amat kagum dengan kebijaksanaan ketua menteri dalam memberi fokus kepada tiga bidang utama pertumbuhan ekonomi termasuk industri pelancongan.

“FeRTAS amat mengalu-alukan peruntukan berkenaan dan yakin bahawa ia mampu memacu pembangunan pelancongan luar bandar seiring dengan impian 2030, pelancongan luar bandar Sabah bertaraf dunia,” katanya. – Info X