Search

Tindakan pantas bomba komuniti bantu selamatkan 300 rumah

November 29, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tindakan pantas Pasukan khas Bomba Komuniti (PBK) Tanjung Aru berjaya menyelamatkan lebih 300 rumah daripada terbakar dalam kejadian di hujung Kampung Tanjung Aru Lama, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Negeri (PPON) Hamsa Isnurdini berkata, panggilan kecemasan berkenaan kebakaran diterima pada jam 12.23 tengah hari.

“Bertindak dengan panggilan, seramai 40 anggota keseluruhan daripada beberapa buah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) termasuk Kota Kinabalu, Lintas, Penampang dan Tuaran digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.

“Pada masa sama, seramai 25 anggota PBK Tanjung Aru turut menjalankan tindakan awal dengan melaksanakan operasi mengawal kebakaran di lokasi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Hamzah (kanan) melakukan pemeriksaan di lokasi kebakaran di hujung Kampung Tanjung Aru Lama, Kota Kinabalu.

Beliau berkata, pergerakan jentera bomba ke lokasi berjalan lancar dan tidak dihalang oleh kenderaan yang diletakkan di tepi jalan.

“Perjalanan sejauh tiga kilometer ke lokasi kejadian tidak berhadapan cabaran tinggi kerana waktu kejadian adalah dimana sebahagian besar penduduk sekitarnya sedang bekerja.

“Jika dilihat dari segi keadaan geografi menuju ke lokasi kejadian, laluan jalan raya ke sana agak sempit dan mujurlah tidak banyak kenderaan yang diletakkan di kawasan sepanjang jalan raya dan memudahkan pergerakan jentera ke lokasi,” katanya.

Beliau berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan sumber air terbuka dan sumber air dari jentera dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.18 petang.

Anggota bomba membantu menyelamatkan barang milik mangsa kebakaran di hujung Kampung Tanjung Aru Lama, Kota Kinabalu.

“Tindakan pantas PBK Tanjung Aru yang baharu ditubuhkan membuahkan hasil apabila mereka berjaya mengawal dan menghentikan api daripada merebak lebih besar ke kawasan perumahan lain.

“Apa yang diajarkan ketika sesi latihan dapat diaplikasi dalam operasi ini dan segala teknik memadam kebakaran di kawasan perumahan atas air yang dibina berdekatan antara satu sama lain dengan merobohkan rumah bagi mengelakkan daripada terbakar sangat berkesan,” katanya.

Menurutnya, berkata hanya enam rumah termasuk empat musnah sepenuhnya dan dua terbakar 50 peratus musnah dalam kejadian ini manakala lebih 300 yang lain berjaya diselamatkan.

“Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X