LAHAD DATU: Agensi penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan lima termasuk seorang wanita disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina, semalam.
Semua mereka berusia 17 hingga 20 tahun itu ditahan APMM Zon Maritim Lahad Datu di kedudukan hampir 0.5 batu nautika di kawasan Timur Pulau Bohayan, Kunak, jam 1.45 tengah hari.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, bot peronda APMM mengesan sebuah bot pam melalui rondaan rutin di kawasan berkenaan.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bot itu dinaiki enam individu iaitu empat lelaki dan seorang wanita warga Filipina.
“Semua mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah manakala seorang lagi wanita warga Malaysia dilepaskan tanpa sebarang pendakwaan.
“Turut dirampas sebuah bot pam tanpa nombor pendaftaran dan sebuah enjin pam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1958/63.
Sementara itu, beliau berkata masyarakat khususnya komuniti maritim di Lahad Datu supaya terus memberi kerjasama dengan melaporkan jika terdapat sebarang maklumat berkaitan salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut.

“Orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Lahad Datu di talian 089-885727 dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya. – Info X