Search

Timbunan sampah di Lahad Datu dibersihkan selepas viral

December 7, 2023

Info X Reporters

LAHAD DATU: Timbunan sampah plastik yang mencemari kawasan pesisir laut dekat Jalan Pantai di bandar Lahad Datu, di sini, diambil tindakan segera selepas gambar pencemaran itu ditularkan di media sosial, sejak kelmarin.

Kerja pembersihan dilaksanakan syarikat pengurusan sampah di bawah Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD) dengan dibantu sebuah jengkaut yang digunakan untuk mengaut timbunan sampah terbabit, petang semalam.

Tindakan itu dikongsikan di laman Facebook MDLD yang turut memuat naik beberapa keping gambar yang menunjukkan pekerja pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sedang melaksanakan kerja pembersihan.

Turut turun padang memantau kerja pembersihan itu ialah Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen @ Benetty Mohd Dzul dan Jurutera MDLD, Andrew William Joes.

Pihak PBT melakukan kerja pembersihan sampah di kawasan pesisir laut sekitar Jalan Pantai, Lahad Datu. – Foto/Facebook MDLD

Menerusi ruangan komen dalam perkongsian yang sama, MDLD meminta kerjasama orang ramai, khususnya penduduk di sekitar bandar Lahad Datu supaya sama-sama menjaga kebersihan persekitaran bandar berkenaan.

“Kesedaran kepada masyarakat, jangan membuang sampah merata tempat.. pihak kerajaan hanya membantu untuk membersihkan dan berkhidmat untuk kesejahteraan bersama..marilah sama-sama kita menjaga kebersihan daerah kita,” katanya.

Sementara itu, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Segama yang juga Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Silam, Datuk Mizma Apehdullah, menerusi komennya berkata, PBT mengambil tindakan segera membersihkan kawasan itu walaupun konsesi pembersihan pesisir pantai sepatutnya bermula pertengahan bulan ini.

“Alhamdulillah, sementara konsesi pembersihan sampah pesisir pantai akan beroperasi pertengahan bulan ini, Pegawai Executive Lahad Datu (MDLD) dan Pegawai Daerah Lahad Datu telah meminta konsesi sampah Lahad Datu melalui Syarikat HANA MEGAH untuk membersihkan sampah tersebut terlebih dahulu.

“Terima kasih PE dan DO atas tindakan segera yang dilakukan selepas menerima aduan rakyat,” katanya.

Sebelum ini, sebuah laman Facebook di daerah ini memuat naik sekeping gambar yang menunjukkan timbunan sampah plastik di kawasan pesisir laut bertembok berdekatan Jalan Pantai, Lahad Datu.

Keadaan pencemaran sampah di kawasan pesisir laut Jalan Pantai, Lahad Datu yang ditularkan di media sosial sebelum ini. – Foto/ Facebook Lahad Datu Info

Kawasan berkenaan turut menjadi tempat persinggahan atau berehat orang ramai berikutan kedudukannya yang hampir dengan jalan raya utama.

Timbunan sampah itu menjejaskan imej bandar Lahad Datu sebagai destinasi persinggahan pengunjung selain menggagalkan usaha PBT untuk menjadikan bandar ini sebuah kawasan yang bersih jika terus dibiarkan.

Sampah terbabit dipercayai terkumpul di kawasan berkenaan selepas dihanyutkan air pasang dari beberapa penempatan atas air berikutan sikap segelintir penduduk tidak bertanggungjawab membuang sampah ke laut. – Info X