KUDAT: Tiga kanak-kanak yang lemas di kolam takungan air pembinaan di Kampung Perpaduan Ria 1, di sini semalam dipercayai bermula apabila salah seorang daripada mereka terjun ke kolam berkenaan untuk mandi.
Kanak-kanak berusia tujuh tahun itu bagaimanapun tidak timbul selepas beberapa saat menyebabkan seorang daripada rakannya terjun dengan niat untuk menyelamatkan mangsa.
Bagaimanapun, kanak-kanak kedua itupun tidak timbul selepas terjun, menyebabkan seorang lagi rakan mereka membuat keputusan untuk terjun bagi menyelamatkan dua mangsa terdahulu, sebelum dia sendiri lemas.
Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, hasil siasatan awal mendapati sebelum kejadian ketiga-tiga mangsa bersama beberapa lagi kanak-kanak lain pergi ke kolam takungan air pembinaan di kawasan berkenaan dipercayai untuk mandi.

“Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dipercayai terjun ke kolam untuk mandi namun tidak timbul hingga menyebabkan dua lagi rakannya termasuk seorang perempuan masing-masing berusia 11 tahun turut terjun untuk menyelamatkan mangsa.
“Bagaimanapun ketiga-tiga mereka tidak timbul hingga kanak-kanak lain yang berada berhampiran kolam bergegas memaklumkan kejadian itu ibu bapa mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Susulan itu, Mohd Haris berkata penduduk kampung segera ke lokasi kejadian dan mendapati ketiga-tiga mangsa dipercayai tenggelam di dasar kolam.
“Penduduk kampung segera terjun ke kolam sebelum berjaya menemui ketiga-tiga mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Bagaimanapun ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Kudat,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya menasihati orang awam supaya berhati-hati dalam memuat dan berkongsi bahan berkaitan kejadian ini di media sosial yang boleh mengakibatkan kegusaran masyarakat.
“Serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian ini.
“Mayat semua mangsa telah dihantar ke Hospital Kudat untuk tindakan lanjut. Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya.
Terdahulu, pada jam 5.30 petang semalam, tiga kanak-kanak termasuk seorang perempuan ditemukan lemas selepas dipercayai mandi di dalam kolam takungan air pembinaan di Kampung Perpaduan Ria 1.
Mangsa lelaki dikenali sebagai Wan Hermi, 11 dan Mohd Syahwan, 7, manakala kanak-kanak perempuan dikenali sebagai Nurul Isah, 11. – Info X