KOTA KINABALU: Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) membabitkan seorang nelayan yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke laut di perairan Pulau Gaya, di sini, diteruskan hari ini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dan Labuan, Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, Carilamat yang memasuki hari kedua dijalankan seawal jam 7 pagi membabitkan pembahagian tujuh sektor kawasan pencarian.
“Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) ditubuhkan di jeti APMM Sepanggar yang diketuai Leftenan Maritim Roslan Lebak bersama tiga anggota.
“Keluasan pencarian keseluruhan membabitkan 44 Batu Nautika (BN) Persegi yang dilaksanakan menggunakan Bot Kilat 39 dengan bantuan beberapa agensi keselamatan lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Keadaan cuaca adalah baik dengan kelajuan angin 30 hingga 40 kilometer perjam (km/h) dan tahap ketinggian ombak adalah 1.5 hingga 2.5 meter,” katanya dalam satu kenyataan media.

Terdahulu, mangsa yang dikenal pasti sebagai Omar Ajid, 40, dikatakan keluar menangkap ikan kira-kira jam 5 pagi Isnin lalu dengan memakai baju lengan panjang warna merah dan seluar bercorak celoreng warna hijau.
Pada jam 10 pagi, bot mangsa ditemukan oleh penduduk kampung dalam keadaan enjin masih hidup di posisi 7.6 batu nautika utara Pulau Gaya.
Pusat Operasi Maritim yang menerima maklumat berkaitan kejadian daripada isteri mangsa melalui panggilan telefon pada tengah hari kemudian mengaktifkan operasi Carilamat kira-kira 2 petang melalui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu.
Sehingga kini masih tiada sebarang penemuan atau petunjuk dan usaha mencari giat dijalankan, sebarang perkembangan akan disalur dari semasa ke semasa. – Info X