LAHAD DATU: Bukan calang-calang buaya dijinakkan sebaliknya reptilia seberat lebih 1.2 tan berjaya ditangkap sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam kejadian di Kampung Desa Bajau, di sini, semalam.
Reptilia berukuran hampir lima meter panjang dan lebat 1.8 meter ditemukan dan ditangkap di kolong rumah atas air, jam 8.50 malam.
Pegawai APM Lahad Datu, Kapten (PA) Ahmad Roslan Kamel berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada 4.38 petang.
Katanya, sepasukan enam anggota APM Lahad Datu kemudian bergegas ke lokasi kejadian untuk operasi menangkap reptilia berkenaan.

“Setiba di lokasi jam 5.16 petang, didapati seekor buaya besar berada di bawah rumah atas air dalam keadaan air yang surut.
“Anggota cuba menangkap menggunakan kaedah jerutan sebanyak tiga kali tetapi gagal disebabkan buaya itu terlalu besar dan agresif.
“Malah, buaya itu hampir menyerang seorang kanak-kanak yang ketika itu menyaksikan operasi menangkap reptilia berkenaan.
“Namun anggota APM berjaya menyelamatkan kanak-kanak terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, selepas itu APM menghubungi Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu untuk bantuan menangkap buaya berkenaan.
“Sebanyak tujuh das tembakan dilepaskan ke arah buaya berkenaan dan disahkan mati akibat das tembakan ke arah kepala buaya.
“Anggota bertugas kemudian menangkap dan menyerahkan kepada JHL Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tambah beliau lagi, semua anggota selamat dan operasi ditamatkan pada 8.50 malam. – Info X