Search

Lelaki maut motosikal langgar dua kenderaan, masuk longkang

December 12, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya melanggar dua kenderaan sebelum tercampak ke dalam longkang kecil di pusingan U Kalansanan, Jalan Tuaran Bypass, di sini semalam.

Dalam kejadian jam 6.50 pagi itu, mangsa berusia 24 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda RS meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu motosikal Honda RS, Proton Saga dan Mitsubishi Xpander.

Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati pemandu Proton Saga lelaki berusia 46 tahun dari arah Bakti Ikhlas dalam perjalanan ke Kota Kinabalu.

Lokasi kemalangan di pusingan U Kalansanan, Jalan Tuaran Bypass, Kota Kinabalu.

“Pemandu Proton Saga berada di lorong pusingan U telah keluar membuat pusingan dan motosikal Honda RS di jalan lurus arah bertentangan melanggar bahagian sisi kiri belakang Proton Saga berkenaan.

“Penunggang dan motosikal kemudian terbabas ke kanan jalan lalu melanggar bahagian tepi sisi kanan Mitsubishi Xpander yang berada di lorong pusingan-U.

“Akibat daripada pelanggaran itu, motosikal dan penunggang tercampak ke dalam longkang kecil yang berada di tengah jalan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, penunggang motosikal dapati terbaring tidak sedar diri di dalam longkang dan motosikal berada di dalam longkang jauh 11 meter ke hadapan daripada mangsa.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat parah di bahagian kepala.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor di tempat kejadian akibat parah di bahagian kepala.

“Siasatan masih diteruskan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Info X