Search

Minuman keras bernilai hampir RM100,000 dirampas

December 12, 2023

Info X Reporters

LABUAN: Minuman keras pelbagaj jenama bernilai hampir RM100,000 dipercayai cuba diseludup keluar dari wilayah ini berjaya dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), tengah malam tadi.

Rampasan itu dijalankan APMM Labuan menerusi Op Sejahtera, Op Khas Kuda Laut dan Op Tiris di kedudukan 0.21 batu nautika tenggara Tanjung Klias, Menumbok, Sabah kira-kira jam 12.40 tengah malam.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Izwanhadi Idros berkata, menerusi operasi rondaan itu, bot peronda APMM mengesan sebuah bot yang bergerak dalam keadaan mencurigakan menghala ke arah Menumbok.

Katanya, ketika menghampiri bot berkenaan untuk pemeriksaan, tekong bot bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ke hutan paya bakau berhampiran.

“Atas faktor kawasan berkenaan sangat gelap dan berbahaya kepada anggota, usaha untuk terus mengejar dan memberkas suspek berkenaan menemui jalan buntu.

“Pemeriksaan lanjut ke atas bot tanpa nombor pendaftaran itu menemukan sejumlah 5,472 tin minuman keras pelbagai jenama dipercayai dibawa secara haram dan diseludup keluar dari Labuan untuk pasaran tempatan,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Menurutnya, bot bersama semua barang rampasan diiring masuk ke jeti Zon Maritim Labuan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Pasukan APMM melakukan pemeriksaan ke atas bot membawa minuman keras dipercayai cuba diseludup keluar dari Labuan. – Foto/APMM

“Kes akan disiasat mengikut Akta Kastam 1967 kerana membawa keluar minuman keras tanpa cukai melebihi jumlah yang dibenarkan.

“Usaha mengesan serta memburu dalang serta suspek diteruskan bagi
memastikan pelaku jenayah dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Izwanhadi menegaskan APMM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan aktiviti jenayah di laut dan akan mengambil tindakan undang-undang yang berkaitan.

Dalam pada itu, beliau turut memohon kepada orang ramai untuk membantu pihaknya dengan menyalurkan maklumat sekiranya terdapat sebarang aktiviti yang mencurigakan dengan menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-453777 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam. – Info X