KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dan Labuan terus meningkatkan kesiapsiagaan aset dan rondaan di perairan negeri ini.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, usaha ini adalah bagi membanteras ketirisan jenayah rentas sempadan dan penyeludupan barang terkawal sepanjang musim perayaan.
“Menjelang perayaan Hari Natal dan Tahun Baharu tidak lama lagi, APMM sentiasa memastikan sempadan perairan negara khususnya perairan Sabah terus dikawal ketat dengan aset-aset maritim agar kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan penyeludupan barang terkawal dapat dibanteras.
“APMM juga akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain dalam beberapa siri operasi bersepadu diseluruh perairan negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, Maritim Sabah dan Labuan merekodkan 50 kes mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, 48 kes bagi Akta Imigresen 1959/63 dan 13 kes mengikut Akta Kastam 1967 dalam tempoh Januari hingga November tahun ini.
Katanya, sebanyak 316 tangkapan membabitkan pelbagai kesalahan di laut juga direkodkan bermula Januari hingga awal Disember tahun ini dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM7,580,000. – Info X