Search

Lelaki dikhuatiri hilang di hutan

December 13, 2023

Info X Reporters

RANAU: Seorang lelaki dikhuatiri hilang di kawasan hutan berhampiran Kampung Kimolohing, di sini, sejak Isnin lalu.

Mangsa Fred Yassin, 42, dilaporkan kali terakhir dilihat ketika menyeberangi Sungai Liwagu, Kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ridzwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pihak polis memaklumkan seorang lelaki hilang di hutan.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapatkan maklumat daripada keluarga mangsa seterusnya menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Operasi SAR disertsi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pasukan penyelamat bersiap sedia menjalankan operasi SAR mangsa dilaporkan hilang di hutan berhampiran Kampung Kimolohing, Ranau. – Foto/Bomba

Ridzwan berkata, menurut laporan pemanggil, pada 11 Disember lalu, mangsa bersama keluarganya keluar ke kebun berhampiran intake logi air Bambangan.

“Semua keluarga mangsa menggunakan jambatan gantung untuk ke kebun manakala mangsa telah turun ke Sungai Liwagu melalui bawah jambatan gantung.

“Setakat ini mangsa belum ditemui dan operasi SAR giat dijalankan,” katanya.

Menurutnya lagi, maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa. – Info X