Search

Tugas sebagai ibu, Ketua Penolong Pengarah tidak halang Siti Khairunnisak rangkul ijazah

December 13, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Meskipun mempunyai tanggungjawab besar sebagai ibu kepada lima orang cahaya mata serta memegang jawatan sebagai Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan dan Eksesais Maritim Negeri Sabah dan Labuan, Komander Maritim Siti Khairunnisak Abd Aziz berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Pengurusan Modal Manusia dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam Majlis Konvokesyen, Isnin lalu.

Berasal dari Labuan, Siti Khairunnisak yang berusia 40 tahun itu membuktikan beliau mampu menamatkan pengajian jarak jauh selama dua tahun tanpa sebarang penangguhan walaupun berhadapan pelbagai cabaran.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, Siti Khairunnisak boleh diibaratkan ‘wanita besi’ kerana selain sentiasa memberikan komitmen tinggi kepada tugasan yang diamanahkan, beliau juga diuji dengan kurniaan dua orang anak kembar istimewa berumur enam tahun.

Beliau berkata, kejayaan yang dicapai oleh Siti Khairunnisak adalah contoh terbaik kepada seluruh warga Maritim Sabah dan Labuan untuk menyambung pelajaran ke tahap tertinggi dan mencapai cita-cita yang diimpikan.

Siti Khairunnisak dan suami, Mahathir merakamkan gambar kenangan bersama anak mereka selepas menerima ijazah. – Foto/APMM

Lebih menarik, suami beliau yang juga pegawai APMM kini bertugas sebagai Pegawai Laksana Kapal Maritim (KM) Banggi iaitu Lefternan Komander Maritim Mahathir Mohammad turut berkongsi kejayaan manis ini apabila berjaya menamatkan pengajian dalam bidang yang sama. – Info X