PENAMPANG: Seorang lelaki maut selepas van dipandu terbabas sejauh 100 meter sebelum masuk ke dalam belukar berhampiran pagar belakang Kem Lok Kawi, di sini, semalam.
Dalam kira-kira 5 petang itu, mangsa berusia 35 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialami.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, hasil siasatan awal polis di lokasi kejadian mendapati van yang dipandu mangsa dari arah Jalan Papar Lama menuju ke Penampang.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, dipercayai van hilang kawalan lalu terbabas sejauh 100 meter dan masuk ke dalam belukar berhampiran pagar belakang Kem Lok Kawi.
“Akibat kemalangan itu, pemandu seorang lelaki tempatan mengalami parah dan disahkan meninggal dunia di tempat oleh pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth (QEH), Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik untuk proses bedah siasat.

“Seorang penumpang van lelaki berusia 18 tahun hanya mengalami cedera ringan dan dibawa ke QEH untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sementara itu, Sammy berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil memberikan maklumat untuk membantu siasatan atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133. – Info X