Search

SAGA X : Keningau raih dua emas acara boling padang

December 17, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pasukan Keningau ternyata memanfaatkan kelebihan beraksi gelanggang sendiri apabila memenangi dua pingat emas acara boling padang temasya Sukan Sabah (SAGA) ke-10, di gelanggang boling padang Kompleks Sukan Keningau, pagi tadi.

Pingat emas itu hadir menerusi acara Singles Lelaki yang diwakili Edver Rivaldee Holiday dan Fours Lelaki diwakili Elldy Maxcanzie Zosmi; Alvandino Antoni; Darren Davy dan Ezequiell Junaidh @ Junaidih.

Untuk rekod, tuan rumah SAGA kali ini adalah Kota Kinabalu namun acara boling padang terpaksa diadakan di Keningau berikutan keadaan gelanggang di Kompleks Sukan Likas, di sini, yang masih dalam pembaikan.

Sementara itu, bagi pingat perak acara Singles Lelaki dimenangi Tenom yang diwakili Jellneson Joanis dan Gangsa Bersama dimenangi Pitas dan Kota Belud.

Pingat Perak bagi acara Fours Lelaki pula dimenangi pasukan mewakili Beaufort dan Gangsa Bersama dimenangi Beluran dan Kota Kinabalu.

Sementara itu, pingat emas acara sama bagi kategori wanita Singles dimenangi Sandakan; Tenom (Perak) dan Gangsa Bersama dimenangi Beluran dan Kota Belud.

Bagi acara Fours pula, pingat emas dimenangi Kota Belud; Tenom (Perak) dan Gangsa Bersama dimenangi Beluran dan Sandakan.

Dalam acara berasingan di Arena Pentaque Politeknik Kota Kinabalu, pasukan tuan rumah berjaya merangkul dua emas, masing-masing bagi kategori Shooting Lelaki dan Shooting Wanita.

Peserta Kota Kinabalu, Mohd Aiman Danial mengungguli acara Shooting Lelaki apabila menewaskan peserta Papar, Muhammad Hazlami dengan keputusan 18-6.

Sementara itu rakan sepasukannya bagi kategori wanita, Nur Shaqina Sari turut memenangi emas selepas menewaskan peserta dari Tawau, Maxivianna dengan keputusan 15-9.

Pingat gangsa bagi kedua-dua kategori itu pula masing-masing dimenangi Abraham Junior dari Kota Belud (Shooting Lelaki) dan Marysa Apple dari Keningau (Shooting Wanita).

Esok beberapa acara utama turut menjadi tumpuan antaranya Olahraga yang turut menawarkan pingat seperti 5,000 Meter (Wanita) 400 Meter lari berpagar masing-masing bagi kategori Lelaki dan Wanita. – Info X