TUARAN: Pelari Tambunan, Hanssen Yap Soon Fu bukan saja dinobatkan sebagai raja pecut Sukan Sabah (SAGA) kali ke-10, malah turut memecahkan rekod kejohanan acara pecut 100 meter dengan catatan 10.46s, di Kompleks Sukan Tuaran, di sini, pagi tadi.
Pelajar tingkatan enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambunan itu memecahkan rekod dipegang Mohammad Nor Musyaraf Mohd Sari yang mencatat masa 10.76s di Sandakan pada 2019.
Sementara itu, seorang lagi pelari Tambunan yang juga pemenang emas acara sama di kejohanan olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2022, Dexter Bedie meraih pingat Perak selepas menduduki tempat kedua dengan catatan masa 10.49s.
Pelari dari Sandakan Pangiran Aidil Auf Hajam @ Pg Roslie yang sebelum ini mencatat masa terpantas pada peringkat saringan pula terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa selepas menduduki tempat ketiga dengan catatan masa 10.54s.
Hanssen ketika ditemui berkata, beliau memang mensasarkan pingat emas namun tidak menyangka mampu mencatat masa 10.46s.
“Saya akui final ini satu cabaran sukar terutama rakan sepasukan saya Dexter dan Pangiran (Aidil), mereka ini sangat kuat tapi saya lebih bernasib dapat menang emas.
“Sebelum ini persiapan saya juga agak mencabar kerana sebelum ini saya mengalami kecederaan ‘groin’, tidak dapat ‘push’ sangat,” katanya. – Info X