SEMPORNA: Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas dilanggar sebuah kenderaan, di Jalan Aman Jaya, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa Argadil Mohd Yusuf, 12, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.16 tengah hari.
Katanya, sepasukan anggota bersama jentera termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) kemudian bergegas ke lokasi kejadian.
“Kemalangan itu membabitkan seorang pejalan kaki dipercayai dilanggar sebuah kenderaan jenis Kenderaan Proton Persona.

“Terdapat seorang mangsa lelaki disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Tambah beliau, pemeriksaan dijalankan di sekitar lokasi bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain dan operasi ditamatkan pada jam 2.43 petang. – Info X