Search

Kereta dinaiki empat lelaki jatuh dari jambatan

December 20, 2023

Info X Reporters

TENOM: Empat lelaki terselamat selepas kenderaan dinaiki terhumban setinggi hampir lima meter ke bawah jambatan di Jalan Tomani Kemabong, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.15 pagi itu, semua mangsa hanya cedera ringan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, lapan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom bersama jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 7.21 pagi.

Katanya, berdasarkan maklumat semua mangsa yang menaiki kereta jenis Proton Persona itu terbabas dan terjatuh dari jambatan dengan ketinggian 4.5 meter.

Pasukan bomba melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian. – Foto/Bomba

“Terdapat empat mangsa terlibat dilaporkan mengalami cedera ringan.

“Semua mangsa dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke Klinik Kesihatan Kemabong sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada bahaya lain sebelum operasi tamat pada jam 9 pagi. – Info X