Search

Ikan, sayuran segar akan dimasuk dalam program Jualan Rahmah tahun depan

December 21, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Program Jualan Rahmah akan dipelbagaikan dengan memasukkan barangan basah, khususnya ikan dan sayuran segar menerusi penambahbaikan yang akan dilaksanakan mulai tahun depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata ketika ini hanya ayam yang dikategorikan sebagai barangan basah dijual dalam Jualan Rahmah anjuran kementeriannya.

Katanya, menerusi pendekatan baharu itu, KPDN akan mempelawa mana-mana peniaga di pasar yang sedia menawarkan diskaun antara 10 peratus hingga 30 peratus terhadap barangan basah yang dijual mereka untuk menyertai program Jualan Rahmah.

“Ada yang cakap tiada bekalan barangan basah dijual dalam Jualan Rahmah pada masa ini, jadi kita putuskan pada tahun depan kita bawa barangan dalam pasar basah untuk Jualan Rahmah tahun depan, sekarang hanya ada ayam.

“Kita mahu bawa peniaga pasar berniaga pada program Jualan Rahmah, kita kena runding kerana asasnya, barang mesti ada diskaun 10 hingga 30 peratus.

Kita cari siapa yang sanggup dan kerajaan akan subsidikan diskaun itu,” katanya pada sidang media sempena Jualan Rahmah peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kapayan dan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya pelaksanaannya mungkin tidak dapat dimulakan pada Januari ini kerana ia memerlukan perbincangan lanjut dengan peniaga yang sedia untuk menyertai program itu.

Armizan berkata, penambahbaikan itu adalah tindakan yang akan diambil hasil keputusan kajian pelaksanaan program Jualan Rahmah yang dibentangkan kepada Kementerian Perdagangam Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dua hari lalu.

Katanya, kajian itu mendedahkan 80 peratus responden menyokong pelaksanaan Jualan Rahmah supaya diteruskan, manakala 20 peratus lagi mengalu-alukan pelaksanaannya, namun mencadangkan agar ditambah baik terutama dari segi hebahannya.

“Sebab itu, mulai tahun depan juga kita akan hebahkan jadual program Jualan Rahmah di setiap kawasan, bila dan di mana ia diadakan supaya rakyat tahu lebih awal,” katanya.

Sementara itu, Armizan berkata sebanyak 14 jenis barangan disenaraikan sebagai dikawal harga sepanjang SHMMP Krismas yang bermula pada 23 Disember hingga 27 Disember ini.

Daripada jumlah itu, katanya empat barangan adalah khusus untuk Sabah, Sarawak dan Labuan iaitu kepak ayam, babi hidup, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak), manakala satu barangan khusus untuk Sarawak, iaitu ayam tua hidup.

Baki sembilan lagi barangan, katanya diwartakan di seluruh negara iaitu daging kambing biri-biri bertulang, tomato, lada benggala hijau, kubis bulat import (China dan Indonesia), lobak merah, ubi kentang import (China), bawang merah besar import dan lada kuning besar.

Harga maksimum yang ditetapkan oleh KPDN untuk semua barangan terbabit katanya boleh dirujuk di laman sesawang kementerian.

“Pegawai penguatkuasa KPDN di seluruh negara akan melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat membeli belah barangan keperluan perayaan,” katanya. – Info X