KOTA MARUDU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun disahkan meninggal dunia pagi tadi, apabila sudah bertarung nyawa hampir 11 jam selepas terbabit kemalangan di Jalan Rakit, di sini, semalam.
Mangsa Rebecca Grace Tintingon, 9, menghembuskan nafas terakhir, kira-kira jam 2 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, pihaknya menerima makluman dari Hospital Kota Marudu mangsa meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Kota Marudu.
“Mangsa adalah penumpang hadapan kenderaan Isuzu D Max yang terbabit kemalangan dengan lori tiga tan dalam kejadian jam 4.45 petang semalam.
“Punca kematian disebabkan oleh parah di bahagian badan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, tiga individu parah manakala lima yang lain mengalami kecederaan selepas pacuan empat roda jenis Isuzu D Max merempuh sebuah lori tiga tan kira-kira jam 4.45 petang semalam.
Kejadian menyebabkan pemandu kenderaan pacuan empat roda wanita berusia 48 tahun parah iaitu patah di bahagian paha kanan dan tangan kiri manakala penumpangnya berusia 15 tahun turut parah dengan patah di bahagian kaki kiri.
Pemandu lori tiga tan berusia 43 tahun juga parah selepas patah di bahagian paha sebelah kiri manakala lima lagi individu yang cedera ialah tiga penumpang pacuan empat roda dan dua penumpang lori tiga tan.
Zairolnizal berkata, berdasarkan siasatan awal di lokasi kemalangan, lori tiga tan bergerak dari arah Kampung Talantang menuju ke Langkon dengan muatan sawit manakala pacuan empat roda dari Penampang menuju ke Kanibungan, Pitas.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, pacuan empat roda hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan merempuh bahagian hadapan sebelah kanan lori yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat kejadian itu, lori terpusing dan terbabas di kiri jalan Kota Marudu-Pitas manakala pacuan empat roda terbalik di bahagian kanan jalan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Info X