SANDAKAN: Remaja lelaki dikhuatiri lemas selepas hilang ketika mandi di pantai Batu Sapi, di sini semalam ditemui lemas pagi tadi.
Mayat Mohd Amiruddin Juhardin, 16, ditemukan oleh penduduk kampung kira-kira jam 8 pagi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, mayat mangsa ditemukan pada jarak 30 meter dari pesisir pantai berkenaan.
“Mangsa ditemukan penduduk kampung pada jarak 30 meter dari pesisir pantai berhampiran jeti mangsa terakhir dilihat.
“Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada 8.30 pagi.
Semalam, mangsa bersama rakan-rakannya melakukan aktiviti mandi manda di laut dekat Kilang Sinora, Batu Sapi.
Bagaimanapun mangsa hilang dipercayai dihanyutkan arus deras laut. – Info X