Search

Dua hari tidak turun kerja, pengawal keselamatan ditemui mati

January 3, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang pengawal keselamatan yang tidak muncul di tempat kerja selama dua hari ditemui mati di rumah sewanya di Jalan Tuaran, berhampiran sebuah pasar raya di Likas, pagi tadi.

Mangsa berusia 48 tahun itu ditemui kira-kira jam 9 pagi selepas seorang lelaki yang juga majikannya pergi ke rumah sewa berkenaan untuk mencarinya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat penemuan mayat mangsa menerusi panggilan MERS999 pada jam 9.38 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai terus dikerah ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Siasatan awal terhadap majikan, mangsa dikatakan tidak hadir tugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah kolej berhampiran selama dua hari.

“Majikan yang risau dengan keadaannya pergi memeriksa tempat tinggal sebelum mendapati ada bau yang sangat busuk dari dalam bilik mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, majikan dan pemilik bilik sewa kemudiannya memecahkan pintu sebelum mendapati mangsa tidak sedarkan diri dan sudah mula mereput.

Katanya, pasukan perubatan yang hadir membantu di lokasi kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Soal siasat terhadap penghuni bilik lain mendapati tiada seorang pun mendakwa ada terdengar kejadian pelik di bilik simati.

“Ada penghuni yang memberitahu tercium bau busuk namun mereka menyangka ia hanyalah disebabkan bau sampah,” katanya.

Menurutnya, pasukan Forensik polis turut hadir membantu siasatan di tempat kejadian dan setakat ini kematian mangsa dipercayai tiada kaitan dengan sebarang unsur jenayah.

Katanya, mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen I (HQEI) untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – Info X